Make your own free website on Tripod.com

TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jama'ah

 

 

 

Biodata Ringkas Ustaz Muhammad 'Uthman El-Muhammady

(in English)

 

Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943

Bermula pendidikannya dengan bersekolah Melayu, kemudian memasuki Special Malay Class tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5.  Beliau kemudiannya mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.

Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.

Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.

Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Minat kajian beliau adalah di dalam:

  • Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat

  • Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya

  • Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya

Beliau banyak menunjukkan minat untuk mengetengahkan Nusantara sebagai rantau Sunni yang perlu dipertahankan keSunniannya demi menjaga kebenaran akidah dan demi mengawal sifat homogennya untuk keselamatan dan pembinaan ummat.

Pada tahun-tahun 60an, Ustaz 'Uthman memimpin majalah "al-Nur", sebuah terbitan Pertubuhan al-Rahmaniah dan menulis makalah-makalah di dalamnya.  Beliau menjadi Presiden pertubuhan tersebut hingga ke tahun 1968.

Beliau banyak menulis serta membentang kertas-kertas kerja dalam seminar-seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa tentang Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah.  Beliau juga telah menterjemah buku-buku dari bahasa Arab dan Inggeris selain daripada tulisan-tulisan asli.

Ustaz 'Uthman dilantik sebagai Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Distinguished Fellow of IKIM) Kuala Lumpur semenjak tahun 1995 sehingga sekarang.

Beliau juga menjadi ahli dewan redaksi majallah Pengasuh keluaran Majlis Agama Islam Kelantan.

Beliau juga menjadi salah seorang ahli jamaah Pemegang Amanah Yayasan Karyawan Kuala Lumpur.

Beliau pernah dilantik sebagai Pakar Perunding Agama bagi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.

Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:

  • Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud-terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh alm Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).

  • Fathul Muin, terjemahan dan Huraian Maksud, terbitan Majlis Ugama islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.

  • Peradaban dalam Islam terbitan Pustaka Aman Press, KotaBharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.

  • Memahami Islam" terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.

  • Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.

  • Islam dan Kebudayaan risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.

 

 

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.geocities.com/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or traditionalislam.tripod.com