Make your own free website on Tripod.com

TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jama'ah

 

 

 

MELODI WAWASAN DARI SERI BEGAWAN

 

Kepada mereka ingin ku majukan kerangka akli Sunni

Di Dunia Melayu Bumi Pertiwi yang dicintai

Mampu menerima seluruh wajah ilmu nakli lagi akli

Pada seluruh pengenalan ilmu rabbani lagi insani

penjamin kebenaran amal nilai lagi harga diri

Di tengah-tengah globalisasi penghakis nilai dan budi

 

Ilmu bermula pada pancaran dari Dia Maha Mengetahui

K’mudian tersentuh akal semesta pemancar wahi

Dan turun pula pada penerimanya wadah nabawi

Terpindah kepada akal insani yang  sejahtera murni

Menjadi susunan untaian mutiara perbendahraan ilmu Sunni

Tercantum dalam jumlah pengenalan nakli lagi akli

 

Di Semudra ini bernang para alim ilmiawan rabbani

Mulai para Sahabat diredhai sampai kepada Asy’ari

Terus dengan al-Baqillani, sampai ke al-Ghazali dan al-Razi

Tentu termasuk al-Syafi’I lagi para Mujtahid Sunni

Di dalamnya Ibn Khaldun al-Maghribi  dan ilmiawan akli

Pula al-Suyuti sampai kepada Waliyu’Llah al-Dihlawi

 

Di Rantau Sunni ini termasuk al-Raniri lagi al-Fansuri

Pula al-Falimbani serta al-Banjari dan Yusuf Makasari

Terus kepada Daud Ahmad lagi al-Zain al-Fatani

Ramai jemaah mereka ahli ilmu Sunni rabbani

Pemuka ilmu pegangan, hukum, akhlak, lagi rohani dan akli

Dalam jumlah pengenalan gugusan bintang ilmu Sunni

 

Kerangka Sunni menyeluruh lagi spadu ini

mampu  menyelamat akal budi dan hati nurani

Bagi menyembuh penyakit kekeliruan dan demam akli

Yang ramai terkena parah tapi mahu ianya tersembunyi

Asas penyelamat pegangan lagi nilai dan budi

Bagi menghadapi bala bencana keparahan globalisasi

 

Hanya melalui mereka selesai masalah benar pegangan

Termasuk soal dengan Tuhan dalam hidup pengabdian

Juga nilai baik buruk dalam hidup penuh penilaian

Seperti pada kata “hidup bersendikan adat yang diamalkan

Adat bersendikan Syara’ dalam hidup menentukan

Syara’ bersandarkan Kitab tempat terakhir pegangan

 

M’lalui akal mereka untaian mutiara ilmu beribu tahun bersambung

Kekuatan tempat berpijak akal dan pendapat bersinambung

mampu memberi keyakinan pada diri dalam budaya bertembung

Di zaman budaya pascamoden berlawan tanpa hujung

Dalam era kuasa Iblis menjana kepalsuan bersenandung

Mari kita menyelamat diri dan budaya di bawah payung

 

Dalam dialog budaya kini perlu kita kepada keyakinan

paksi penentu kebenaran arah tuju dan keadilan

tanpa faham ilmu Sunni  penuh kebenaran dan kesinambungan

Hanyut kita terkapai di pantai kehancuran kebudayaan

Hilang makna hilang arah hilang keperinadian

Maruah tergadai  seteru menang kita muflis semuanya kehabisan

 

Bersama kita d’ wadah mu’tamar Seri B’gawan membuat keputusan

Tentukan sikap pemilihan intelektuil kerangka ilmu Sunni yang menyelamatkan

Tergabung ke dalamnya kemaslahatan di dunia dan di akhirat kesejahteraan

Menyemarakkan faham ilmu dalam agama dan hidup keduniaan

Gabungan usaha akal budi pancaindera dengan wahyu memberi suluhan

Itu sahaja tentu jalan   ilmu dan amal yang menyelamatkan.

 

Mari bersama kita selamatkan Rantau Melayu Sunni ini

Menentukan kerangka faham ilmu yang mampu menyelamatkan

Dalam berhadapan dengan tamadun Barat penentang maslahat

hakiki insani

Menggarapkan keseluruhan kekuatan dari wahyu nubuwwah dan upaya manusiawi

Tergabung ke dalamnya ketajaman faham, iman, taqwa dan budi

Dalam menjalani hidup bagai hamba Tuhan dan khalifahNya di bumi

 

Ini saja penyelamat kita mengenai Tuhan Maha pencipta

Mengajar manusia hidup dalam pengabdian  bukan derhaka

Memberi nizam nilai baik buruk tentu tetap lagi perkasa

Menyediakan aturan hidup peradaban lengkap sempurna

Menggabung keupayaan akal hati serta pancaindera

memberi konsep pengenalan ilmu menjamin hidup sejahtera 

 

     Dari Tuhan kita pohonkan restu lagi rahmat

Agar pertemuan mendapat panduan dan hidayat

Semoga ianya berulang lagi dalam negeri diberi berkat

di Brunei Darussalam terkenal dalam sejarah dengan jasa dan ni’mat

Semoga menjadi panduan berterusan serantau bagi umat

pembimbing dalam zaman budaya dan tamadun penuh zulmat

 

Tergubah hari ketiga berada di Seri Begawan, Brunei berhubung dengan Seminar bahan rujukan Dunia Melayu  dari 20-23 Ogos 2001.

 

 

 

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.geocities.com/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or traditionalislam.tripod.com