TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jama'ah

 

 

 

SEBUAH LAGU MERDU DARI TUNIS

Oleh:

Putera Sunni

 

I

Inginku dendangkan wahai sayang lagu merdu dari Tunis

Dengarkanlah wahai sayang nyanyian purba manawan manis

Dari serulingku mengalun senandung pembawa perpaduan

Pemaut hati jiwa akal budi ibn Khaldun al-Maghribi

Ingi ku jadikannya sebahagian lagu merdu alam pertiwi Dunia Jawi

 

II

Beliau bersenandung lagu merdu aluanan kasihkan bangsa

Di bawah nama asabiyah pengangkat umat jadi perkasa

Dengarkanlah lagu ini sayang, penyatu padu bukan hanya kerana keturunan

Bahkan k'rana kebersamaan dalam kehidupan pengalaman adat kebiasaan

Bagaikan takrifan Melayu yang ada di kalangan kita

Mengambil kira adat agama bahasa pengucapan tamadun kita

 

III

P'bila Iqbal membawa JalaludDin Rumi dalam alam puisi

Inginku bawakan lagu wacana akli ibn Khaldun ke alam kita berdiskusi

Bicara penguat umat jadi teguh lagi bermaruah tinggi

Sebutan nama dalam sejarah menjadi harim bak setanggi

Dibisikkannya ke telinga kita penuh kasih dan sayang

"Kamu perteguhkan perpaduan bangsa kalau tidak maruah melayang"

 

IV

Ini ajaran Junjungan dalam rahsia "fi man 'atin min qaumihi"

Pengajak kepada lindungan kekuatan bangsa teguh penuh kasih

Tali kasih sayang mesyi dipererat, diperteguh

Tanpa merugi masa dalam bertangguh kita roboh

Racun bisa pemusnah, perpecahan, mesti dihapuskan

Bagai orang memadam api membakar memusnah perbendaharaan simpanan

 

V

Beliau memetik lagu pembina akal murni lagi tajam

Lagu "akal tambahan" pembina tamadun bangsa 'Ajam

Terbentuk dalam pendedahan pendidikan ilmu tinggi dan kepakaran

Diperlukan demi peningkatan tinggi bangsa melalui kesedaran

Perlengkap kepada memuncak masyarakat iman taqwa akhlak dan keperibadian

Membentuk peribadi masyarakat tamadun bangsa dan peradaban

 

VI

Beliau menyeru kita k'pada imbauan membina kekuatan adat kebiasaan

Terkandung dalam bidalan "Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum kenabian

Hukum terbina atas Kitab yang diwahyukan"

Terbentuk adat tetap teguh terbina budaya perkasa menyelamatkan

Tertera adat erti maknawi cara berfikir dan nilai

Pembawa ketertiban dalam pemikiran, sikap, pearturan berharga tak ternilai

 

VII

DIgesanya kita membina budaya lagi tamadun tinggi

Berpaksikan ajaran Nabi dari wahyu, sunnah dan daya pemikiran mengatasi Feringgi

Mewarisi budaya dan tamadun iman dan ilmu menyeluruh sepadu

Terpahat dalam sejarah gemilang umat Islam zaman lalu

Sejarah gemilang dulu bukan ibarat seperti candu

bahkan sumber kekuatan, pemikiran, nilai, prinsip memandu

 

VIII

Mari, sayang, kita hayati alunan merdu Maghribi ini

Jadi kita umat berjatidiri berprinsip hidup zaman kini

Tergabung kebenaran mampu bertahan zaman bahari dengan kemahiran ilmu terkini

Berilhamkan Ihya' al-Ghazali dan Muqaddimah ibn Khaldun al-Maghribi

Tergarap dengannya penguasaan teknologi baru seperti Bill Gates di kotarayanya

Dengan kedalaman penguasaan sains Einstein di bidangnya

 

IX

Mari sayang kita binakan kembali kebijaksaaan akal dan tadbir Tun Perak

Sifat adil 'Ala'uddin Ri'ayat Shah harum semerbak

Keberanian kesetiaan Tun Tuah mempertahankan maruah bangsa

Kealiman dan kebijaksanaan para ulama dan budiman sejarah nusa

Keperkasaan pahlawan menjaga umat dari dicerubuh

Ketertiban kemakmuran keamanan kota Melaka, Aceh berdiri teguh tiada roboh

 

X

Aku lebai Jawi Timur Semenanjung ingin bermadah

Berhasrat mengajak umat Dunia Melayu k'pada kehidupan paling indah

Membina kembali kehidupan bangsa tamadun perkasa selepas Melaka terjatuh

Hidup dilanda percubaab dan kebencanaan bukan dengan mengaduh

Mampu membina umat semula jadi perkasa beradab lagi bermaruah

DI dunia zaman globalisasi bila tersilap membawa padah

 

 

- di Pulau Pinang - semperna Majlis Penyampaian Wacana Ibnu Khaldun, anjuran Dewan Bahasa dan Pustafa (DBP), 6 Mei 2002 oleh penulis.

IV

 

 

 

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.geocities.com/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or traditionalislam.tripod.com